Muhyiddin menyampaikan ceramah ketika program ceramah sempena Pilihan PRK Semenyih. FOTO Asyraf Hamzah
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


BERITA gembira dan penting berkaitan kutipan tol yang akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengesahkan Kabinet ada berbincang mengenainya, baru-baru ini.

“Kita baru-baru ini ada berbincang dalam Kabinet, mungkin dalam sehari dua ini akan ada kenyataan berkaitan tol.

“Saya tidak mahu cakap lebih mengenainya, biarlah diumumkan menteri berkaitan,” katanya semasa berceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Batu 26 Beranang, Hulu Langat, malam tadi.

Baru-baru ini Ketua BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim menyarankan supaya Pakatan Harapan menutup satu tol sekiranya menang dalam PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia masih belum mendapat kerjasama dari negara tertentu untuk membawa pulang ahli perniagaan yang diburu, Jho Low.

“Kementerian Dalam Negeri dah keluar satu waran tangkap, visa dia kita dah rampas.

“Kita dah tahu dia kat mana, tetapi kita tak boleh buat urusan bawa balik kecuali negara itu beri kerjasama.

Malaysia dikatakan berurusan dengan China bagi membawa pulang ahli perniagaan yang paling dikehendaki itu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berita berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 1:49 AM