PENGUNJUNG di Taman Eko-Rimba Mossy Forest akan dikenakan bayaran masuk bermula bulan depan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


PENGUNJUNG Taman Eko-Rimba Jerangkang, dekat Kuantan, dan Mossy Forest, Cameron Highlands akan dikenakan caj masuk bermula bulan depan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, caj bayaran dikenakan kepada pengunjung adalah antara RM1.50 hingga RM30 bagi setiap orang.

“Terdapat tiga kategori pengunjung iaitu kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Pengunjung Taman Eko-Rimba Jerangkang, di sini dikenakan bayaran RM1.50 bagi kanak-kanak dan warga emas dan RM3 bagi dewasa, manakala bayaran RM5 hingga RM10 pula dikenakan kepada pelancong asing.

“Pengunjung Taman Eko-Rimba Mossy Forest pula dikenakan bayaran RM5 bagi kanak-kanak dan warga emas, serta RM10 bagi dewasa. Pelancong asing dikenakan bayaran antara RM15 hingga RM30 seorang,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya juga sudah mengenakan bayaran kepada pengunjung di Taman Eko-Rimba Chamang dan Taman Eko-Rimba Lentang, Bentong, selain di Taman Eko-Rimba Gunung Senyu, Temerloh dan Taman Eko-Rimba Sungai Pauh, Cameron Highlands.

“Caj ini dikenakan bagi menampung perbelanjaan menguruskan taman eko-rimba terbabit.

“Kadar caj dikenakan juga tidak terlalu tinggi dan masih berpatutan dengan apa yang ditawarkan di setiap taman eko-rimba berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:33 AM