Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


“SAYA sempat mengajar sepupu mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” kata Mohd Fitri Rosdi, 18, sepupu kepada Mohd Asri Azman, 17, yang maut selepas terkena buluh di bahagian leher kanan, hari ini.

Kejadian 9 pagi di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, di Machang, menyebabkan Mohd Asri yang membonceng motosikal Modenas Kriss maut di lokasi kejadian.

Mohd Fitri berkata, sebelum kejadian dia mengambil Mohd Asri di rumahnya untuk berjalan-jalan di sekitar kampung bersama seorang lagi sepupu yang menunggang motosikal yang lain.

Katanya, mereka dari Kampung Bukit Sawa melalui Kampung Kok Kiok untuk ke Bukit Bakar.

“Kami berada di bahagian hadapan, manakala seorang sepupu mengikuti di bahagian belakang. Ketika sampai di lokasi kejadian, saya melihat seorang pak cik menunggang motosikal jenis EX5 dari arah bertentangan membawa sebatang buluh yang diletakkan di atas bahu.

“Kami cuba mengelak daripada terkena buluh itu, tetapi tidak sangka buluh berkenaan tercucuk di bahagian leher kanan sepupu.

“Sepupu yang mengikut kami terus memberhentikan motosikal sebelum saya turut berhentikan motosikal kerana terkejut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di Machang, hari ini.

Menurutnya, dia terkejut melihat darah banyak di leher sepupu dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum Mohd Asri menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintenden Mohd Shamsuri Mohd Zain mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 12:51 PM