Tiga lelaki suspek kes bunuh pengurus pub ditahan lima hari bermula hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

TIGA lelaki, termasuk seorang suspek utama kes bunuh pengurus pusat hiburan di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, Petaling Jaya, Disember tahun lalu, ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah tahanan reman mereka yang semuanya berusia 20 hingga 30 tahun dikeluarkan Penolong Pendaftar Hairol Azhar Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Mereka yang direman sehingga Selasa ini bertujuan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sebelum ini, pada 17 Disember 2018, sepasang kekasih dan tiga bonzer ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes sama.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 28 tahun dipercayai diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika berdiri di luar pub terbabit bersama beberapa lelaki lain pada 6.38 pagi.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), berlaku pergaduhan awal antara beberapa lelaki di hadapan pub pada 5.32 pagi dan sejam kemudian, empat kenderaan jenis Perodua Myvi, Honda HR-V, Volkswagen Golf dan Toyota Camry datang ke lokasi dan beberapa lelaki bersenjatakan parang keluar serta menyerang mangsa yang berada di luar pub.

Dalam keadaan parah, mangsa sempat menyelamatkan diri ke dalam pub itu, sementara semua suspek melarikan diri.

Mangsa yang menetap di Maxwell Towers, Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada 7.40 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 3:02 PM