Nor Azman (dua dari kiri) bersama sukarelawan belia mengemas dan membaik pulih rumah terpilih. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass


“TAK mungkin saya mampu mengindahkan semula rumah ini sedangkan mahu membeli keperluan dapur pun saya terpaksa berjimat,” kata ibu tunggal, Hasmah Ghazalli, 56.

Hasmah bersyukur apabila rumah pangsapuri dua bilik peninggalan suaminya di Rumah Pangsa Sri Bayu Taman Desa Idaman yang sebelum ini uzur kini berubah wajah.

Menurutnya, rumahnya dicat semula serta dipasang tikar getah baru oleh sukarelawan melalui Program Anak Muda Bangsa Johor (TEMASHOR) anjuran Majlis Belia Daerah (MDB) Kulai, hari ini.

Katanya, buat masa ini dia tinggal bersama anak dan menantu serta tiga cucu berusia enam hingga lapan tahun.

“Anak lelaki saya bekerja sebagai pengawal keselamatan, begitu juga arwah suami sebelum ini.

“Kami tidak mewah atau senang tetapi mempunyai pendapatan yang cukup setiap bulan.

“Namun selepas arwah meninggal dunia, anak saya terpaksa menanggung semua perbelanjaan seorang diri dengan pendapatannya yang kecil menyebabkan kehidupan kami menjadi sukar,” katanya yang menerima bantuan daripada Baitulmal.

Hasmah berkata, dia tidak dapat bekerja disebabkan faktor usia dan kesihatan kerana menghidap darah tinggi, kencing manis, masalah paru-paru dan saraf.

Menurutnya, kesusahan hidup keluarga menyebabkan mereka tidak dapat mengindahkan rumah sendiri.

Sementara itu, Pengerusi MBD Kulai, Nor Azman Hasbullah berkata, 120 sukarelawan menyertai program yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Belia Negeri Johor dan masyarakat tempatan termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perumahan itu.

“Menerusi program ini, kita memilih empat rumah keluarga berpendapatan rendah dan mengecat semula rumah, menggantikan tikar getah serta dapur.

“Kami berharap bantuan ini dapat membantu meringankan beban mereka dan menjalani kehidupan lebih ceria dan selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 4:08 PM