GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


WANITA warga emas meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang kira-kira tiga meter di belakang rumahnya di Taman Ramai Bercham, Ipoh hari ini.

Dalam kejadian 9.20 pagi itu, T Kaliselve, 65, ditemui tersembam dan tidak sedarkan diri oleh jirannya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, Balai Polis Tambun menerima maklumat daripada orang awam sebelum sepasukan polis ke lokasi kejadian.

“Ambulans dari Hospital Bahagia Ulu Kinta tiba di lokasi 9.50 pagi dan pembantu perubatan yang memeriksa mangsa mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang besar yang tingginya kira-kira tiga meter ketika mahu membuang sampah dan mengutip botol kosong di belakang rumahnya.

“Wanita terbabit tinggal seorang diri di rumah ketika kejadian kerana anaknya sudah keluar bekerja dan hampir setiap pagi mangsa buang sampah serta kutip botol plastik di tempat itu untuk dijual.

“Mangsa dijumpai oleh seorang wanita yang hendak membuang sampah di tempat itu dan ternampak mangsa dalam longkang sebelum memaklumkan kepada seorang lelaki untuk membuat laporan polis,” katanya.

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan mangsa juga ada menghidap darah tinggi serta kencing manis hampir 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 4:29 PM