BERNAMA

Tindakan pantas dan berani dua jiran berjaya menangkap seorang lelaki yang memecah masuk ke sebuah rumah di Jalan Kee Hup, Kuching, pagi ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat pemilik rumah pada jam 10.30 pagi.

Katanya, pada kira-kira 9.20 pagi, pemilik rumah menerima mesej amaran daripada sistem penggera keselamatan dipasang di rumahnya yang disambung pada telefon bimbit.

“Pemilik rumah menghubung jirannya untuk meminta bantuan yang kemudian bersama seorang lagi jiran lain segera bertindak dan berjaya menangkap suspek,” katanya.

Katanya, sebaik menyedari beberapa jiran cuba untuk menangkapnya, suspek terus memanjat ke bumbung rumah.

Bagaimanapun, suspek bertindak melompat ke bawah tetapi percubaannya untuk melarikan diri gagal apabila berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis.

Dennis berkata, polis merampas beberapa barang curi dalam beg silang dipakai suspek berusia 28 tahun itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Section 457 Kanun Keseksaan.


SUSPEK (kiri) memanjat bumbung untuk melarikan diri selepas dikepung ketika cuba menceroboh rumah penduduk di Jalan Hup Kee, Kuching. (Gambar kanan) Suspek berjaya ditahan. -FOTO ihsan pembaca.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 6:24 PM