LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-KANAK perempuan yang melecur seluruh badan akibat tersimbah sambal popia basah di rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, 7 Febuari lalu, selamat menjalani pembedahan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, Azalea Hani Abdul Rahim, 5, dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh akibat parah kerana mengalami melecur.

Menurut ibu mangsa, Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 43, anak bongsu daripada tiga beradik itu menjalani pembedahan, kira-kira 9 pagi.

“Pembedahan itu mengambil masa hampir lima jam sebelum Azalea keluar dari bilik pembedahan kira-kira 2 petang.

“Azalea kemudian dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut. Melihat kepada keadaannya, dia masih kritikal, namun stabil,” katanya ketika dihubungi, di Sungai Buloh, hari ini.

Katanya, dia masih belum mengetahui perkembangan kesihatan anaknya itu kerana belum berjumpa pihak doktor.

Semalam, Harian Metro melaporkan Hospital Sungai Buloh dan Lembaga Zakat Selangor menampung kos perubatan Azalea yang dirawat di hospital berkenaan, sejak lebih dua minggu lalu.

Berita berkaitan

Melecur 'bermandikan' sambal popia mendidih

[UPDATE] 'Alhamdulillah...terima kasih semua'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:30 PM