IKAN baung ekor merah yang diternak di perairan Sungai Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
IKAN baung ekor merah yang diternak di perairan Sungai Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Perikanan akan mempertingkatkan program kesedaran kepada penternak ikan khususnya di Pahang susulan kebanjiran ikan pemangsa, baung ekor merah di Sungai Pahang.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Jabatan Perikanan berkata, program kesedaran itu penting bagi memastikan penternak mengambil langkah terbaik serta mengelak ikan berkenaan terlepas ke sungai.

“Ia sebagai panduan bagi memastikan industri akuakultur Sungai Pahang terjamin.

“Jabatan memandang serius mengenai kebanjiran ikan baung ekor merah di Sungai Pahang seperti yang dilaporkan baru-baru ini,” katanya.

Katanya, jabatan akan sentiasa memantau dan mengawasi industri ternakan ikan baung ekor merah di negeri ini supaya setiap penternak mematuhi cadangan dan peraturan ditetapkan terutama membabitkan ternakan dalam sangkar.

Menurutnya, jabatan juga akan meneruskan tindakan penguatkuasaan seperti program pemantauan atau penguatkuasaan bagi membuat hebahan dan kesedaran mengenai perkara ini.

“Pegawai perikanan daerah akan melakukan pemeriksaan secara berjadual bagi memastikan penternak menutup dengan jaring keseluruhan sangkar mereka supaya ikan tidak melompat keluar.

“Kehadiran ikan di perairan ini mungkin akibat terlepas semasa banjir besar sebelum ini,” katanya.

Selain itu, katanya, jabatan turut mencadangkan pindaan dibuat terhadap Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) di peringkat negeri supaya aktiviti pelepasan spesies ikan eksotik (asing) juga dapat dikawal dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, jabatan tidak menggalakkan ternakan ini memandangkan banyak spesis tempatan yang juga mendapat permintaan yang tinggi seperti baung, patin dan kelah.

Ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya hemibagrus wyckioides adalah ikan pemangsa yang disenaraikan Jabatan Perikanan selain 32 spesies ikan yang tidak dibenarkan dilepaskan dalam sungai, empangan, tasik dan lombong di negara ini.

Ikan berkenaan spesies berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan dikategorikan sebagai ikan pemangsa yang akan mengganggu ekosistem perairan sekiranya berada dan membiak dalam perairan umum.

Ia juga mempunyai sifat agresif memakan pelbagai hidupan dalam air termasuk anak ikan dan udang dan saiznya matangnya boleh mencapai berat puluhan kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 4:24 PM