Keratan laporan sebelum ini.


MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Klang.

Beliau berkata, tindakan itu jelas berniat jahat untuk menghina agama Islam dan menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

“Pihak polis sudah menerima beberapa laporan mengenai perkara ini dan saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk menyiasat kes ini secara terperinci.

“Tindakan tegas berasaskan undang-undang hendaklah diambil ke atas pihak yang melakukan perbuatan terkutuk yang berbaur hasutan dan amat provokatif ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penduduk Taman Pendamar Indah pada Rabu lalu, gempar apabila dikejutkan dengan penemuan sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di surau berkenaan.

Difahamkan, patung itu diletakkan individu tidak bertanggungjawab antara 2.30 petang hingga 4.00 petang sebelum disedari oleh siak yang datang untuk melakukan persiapan bagi solat Asar di surau itu.

Siak surau itu, Mohd Yatim Omar, 64, dilaporkan berkata, patung terbabit ditemui ketika mahu membuka pintu surau berkenaan yang berkunci pada 4.15 petang.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kejadian penghinaan terhadap agama Islam sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

“Ini termasuk mesej penghinaan terhadap agama Islam yang disebarkan di media sosial.

“Yang terbaharu ialah kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Suspek kes ini dikenal pasti dan siasatan telah diselesaikan oleh pihak polis.

“Saya percaya Timbalan Pendakwa Raya akan membuat keputusan mengenai pendakwaan suspek terbabit di mahkamah, dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Selasa lalu, seorang lelaki berusia 68 tahun ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh, Pahang bagi membantu siasatan kes membabitkan penghinaan ke atas Nabi SAW.

Lelaki terbabit kemudian direman selama tiga hari bermula Rabu sebelum dibebaskan pada Jumaat lalu dengan jaminan polis.

Berita berkaitan

'Siapa letak berhala di surau? [METROTV]'

'[UPDATE] Patung berhala dicuri rupanya...'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 4:41 PM