Skip this ad x
ROHANI bersama ahli keluarga menunjukkan gambar Mohd Asri. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi


“SAYA tidak akan memaafkan individu yang menyebabkan kematian anak saya,” luah Rohani Abdullah, 34, ibu kepada Mohd Asri Ajeman, 17, yang maut selepas tertusuk buluh di leher pagi semalam.

Dalam kejadian 9 pagi di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, Mohd Asri yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan teruk.

Rohani berkata, kejadian yang menimpa anaknya itu sangat memilukan hatinya menyebabkan dia sukar untuk memaafkan individu berkenaan.

“Ketika jenazah arwah dibawa pulang petang semalam, saya melihat individu yang menyebabkan kematian arwah datang, namun mereka hanya berada di luar rumah.

“Saya masih terkejut dan tidak dapat terima pemergian arwah. Arwah adalah anak sulung dan kini belajar di pondok dekat Wakaf Zain dan bercita-cita menjadi Hafiz, namun kini tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Selising, Machang, hari ini.

Menceritakan semula kejadian sebelum menimpa anaknya itu, Rohani berkata, arwah sempat menziarahi pusara rakan baiknya yang meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan dua bulan lalu.

“Sejak itu sudah menjadi rutin harian arwah setiap pagi Jumaat untuk menziarahi pusara rakan baiknya itu kerana keakraban mereka sejak kecil.

“Selepas menziarahi pusara rakan, arwah pulang ke rumah dan mengajak dua sepupu dan adik lelakinya ke Bukit Bakar kerana mahu mengambil gambar berlatarbelakangkan pemandangan di sana.

“Kebiasaannya arwah akan memaklumkan kepada saya setiap kali mahu keluar, namun semalam dia pergi tanpa memberitahu apa-apa,” katanya.

Katanya, tidak lama selepas itu, adik lelaki arwah yang ikut bersama pulang ke rumah dalam keadaan menangis, sambil memaklumkan kepada suaminya, Ajeman Abdullah, 40 kejadian yang menimpa.

“Suami kemudian memanggil saya dan mengajak lokasi tanpa memaklumkan perkara sebenar, sepanjang perjalanan saya tidak sedap hati sehinggalah sampai ke satu tempat yang dikerumuni orang ramai.

“Ketika itu, terdetik sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada arwah dan saya melihat sekujur tubuh sudah ditutup dengan kain di sebalik kelibat orang ramai,” katanya.

Rohani berkata, ketika itu suami memaklumkan sekujur tubuh yang dilihat adalah Mohd Asri, sebelum meminta izin daripada anggota bomba untuk melihat arwah anak.

“Saya sempat memangku dan mencium arwah yang sudah tidak bernyawa dalam keadaan darah yang masih banyak keluar dari belakang kepalanya.

“Pada mulanya, saya menyangkakan arwah hanya kemalangan biasa kerana buluh sudah dicabut di lehernya sebelum dimaklumkan kejadian sebenar oleh anak,” katanya yang jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tiu, 10 malam tadi.

Berita berkaitan:

Tragedi leher tercucuk buluh

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 4:46 PM