Nazri Abu Bakar


IBU bapa kepada graduan Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST), Mohammad Adib Arsyad Zainal, 22, berasa sayu apabila naik bersama ke pentas menerima skrol bagi Allahyarham pada Majlis Konvokesyen Kelima institut itu di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Zainal Wari, 55, naik ke pentas bersama isterinya, Jamaliah Khamis, 55, menerima segulung diploma mewakili arwah Mohammad Adib yang juga graduan Fakulti Sains Kesihatan MiCoST.

Mohammad Adib meninggal dunia pada 24 Januari tahun lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru dan otak.

Zainal ketika ditemui berkata, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya ketika nama anaknya diumumkan untuk menerima diploma berkenaan.

“Dia pergi begitu cepat. Kehilangannya amat dirasai terutama ketika menggenggam skrol kejayaannya yang tidak dapat dirai bersama pada hari konvokesyen bersejarah ini.

“Melihat ramai rakannya dalam jurusan sama, terbayang wajah arwah sentiasa ceria bersama keluarga ketika dia masih ada,” katanya.

Zainal berkata, arwah yang juga anak ketiga daripada lima beradik dimasukkan ke hospital di Johor Bahru pada 16 September tahun lalu dan disahkan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital 25 hari kemudian.

Bagaimanapun, katanya, arwah dimasukkan semula ke hospital pada 19 Januari lalu dan meninggal dunia lima hari kemudian.

Allahyarham yang berasal dari Johor Bahru antara 497 mahasiswa menerima diploma masing masingmembabitkan Fakuliti Pengurusan Perniagaan, Sains Kesihatan serta Teknologi Maklumat dan Muktimedia.

Majlis penyampaian disempurnakan EXCO Pendidikan Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri Noor Effandy Ahmad mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari. Hadir sama, Presiden MiCoST Dr Afizan Azman.

Sementara itu, penerima anugerah terbaik keseluruhan, Muhamad Iqbal Hakim Shamsudin, 22, berkata sokongan pensyarah, rakan dan kakitangan banyak membantunya menempa kejayaan.

“Sebenarnya doa ibu bapa sangat penting bagi memperoleh kejayaan cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat,” katanya yang turut aktif dalam teater, program siswa dan latihan Rejimen Askar Wataniah Kem 514.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, MiCoST berkata, institut itu sudah melahirkan 2,082 produk setakat ini, sehingga ada yang menyambung pengajian di dalam dan luar negara selain menjawat jawatan penting di pelbagai agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 7:30 PM
Zainal (tengah) sebak ketika menerima skrol arwah anaknya disampaikan Noor Effandi (kanan) sambil diperhatikan Jamaliah pada Majlis Konvokesyen MiICoST di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.