ANTARA wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan yang ditahan.


SERAMAI 24 wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dan 22 lelaki warga asing ditahan dalam satu serbuan di pusat hiburan di Jalan Puteri 1/4, Bandar Puteri, Puchong, hari ini.

Operasi yang dijalankan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, bermula 1 pagi itu turut menahan seorang wanita tempatan yang mengaku sebagai penjaga premis berkenaan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, operasi itu hasil maklumat orang awam sebelum risikan dijalankan sejak petang semalam.

"Ketika pemeriksaan kami mendapati 24 wanita warga asing dipercayai GRO terdiri daripada 19 warga Vietnam, tiga wanita Laos dan dua warga Thailand di premis berkenaan. Mereka yang berusia dari 21 hingga 30 tahun dikenal pasti menyalahgunakan pas ke negara ini.

"Seramai 20 lelaki warga asing dari Bangladesh dan Myanmar yang bekerja di premis itu turut ditahan dalam pemeriksaan," katanya ketika ditemui sejurus operasi, 4.30 pagi tadi.

Beliau berkata, pusat hiburan itu membabitkan pub di tingkat satu, manakala di tingkat dua dan tiga menempatkan bilik karaoke.

"Pusat hiburan ini sudah 10 kali diserbu pihak berkuasa, namun masih degil menjalankan kegiatan tidak bermoral. Hanya pub di tingkat satu mempunyai lesen hiburan, manakala pusat karaoke tidak mempunyai lesen sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 1:15 PM