REMAJA maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Jalan Sungai Besi. FOTO ihsan Bomba
REMAJA maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Jalan Sungai Besi. FOTO ihsan Bomba
Hidayatul Akmal Ahmad


REMAJA lelaki maut selepas tercampak manakala empat lagi rakannya cedera termasuk seorang parah selepas terbabit kemalangan di Jalan Sungai Besi menghala ke Seremban di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Chin Xin Qi, 16, manakala remaja lelaki berusia 19 tahun parah dan seorang lagi remaja berusia 16 tahun cedera di kepala.

Dua remaja terbabit bersama dua lagi remaja yang sedang dikenal pasti identiti menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Cheras.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik.

“Penumpang dan pemandu tercampak atas jalan dan mengalami kecederaan manakala penumpang bahagian belakang meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 2:17 PM