SERAMAI 106 PATI ditahan ketika serbuan di hutan berhampiran Tiara Resort, Bandar Penawar, Kota Tinggi, petang semalam. FOTO Ihsan Polis
Nurul Amanina Suhaini


POLIS berjaya menahan 106 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipercayai cuba menyusup masuk dan keluar dari negara ini dalam satu serbuan di hutan berhampiran Tiara Resort, Bandar Penawar, Kota Tinggi, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan kira-kira jam 5 petang dilakukan hasil maklumat orang ramai dan risikan penyeludupan migran di sekitar Bandar Penawar.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melakukan operasi itu dan menahan semua 106 PATI termasuk bayi lelaki berusia 10 bulan, kanak-kanak dan warga emas.

“Semua PATI terdiri daripada 56 lelaki, 47 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan bayi lelaki berusia 10 bulan manakala tangkapan tertua berusia 60 tahun.

“Susulan tangkapan ini, polis menahan dua lelaki tempatan bersama dua lelaki warga Indonesia berusia 22 hingga 67 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong darat dan orang tengah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, turut dirampas teksi jenis Proton Waja, kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria, lima telefon bimbit, wang tunai RM615 dan matawang Indonesia berjumlah RP 185,000 (RM53.19).

Katanya, semua suspek dan rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) (Pindaan 2010) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 6:46 PM