PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu kempen untuk calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman sempena
Rizanizam Abdul Hamid

Hulu Langat: Masuk hari keenam berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali sudah melawat kira-kira 70 peratus pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Beliau menjangkakan dapat menyelesaikan untuk melawat baki 30 peratus lagi penduduk dalam tempoh dua atau tiga hari lagi sebelum mengadakan lawatan kali kedua bertemu mereka.

“Setakat ini saya dan jentera kempen dah lawat 70 peratus dan kami amat berpuas hati dengan sokongan ditunjukkan penyokong.

“Mungkin lagi dua tiga hari kami dapat capai 100 peratus tapi lagi cepat lagi bagus,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Stesen Teksi Semenyih di sini semalam.

Ditanya sama ada beliau akan membantu menyelesaikan beberapa rungutan yang dihadapi pemandu teksi di kawasan terbabit, jurutera muda itu berkata, ia memerlukan perbincangan lanjut.

“Kita perlukan perincian dan perbincangan lanjut sebelum mencari langkah penyelesaian.

“Saya difahamkan arwah bapa mentua (ADUN sebelum ini Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor) pernah bantu mereka dan Insya-Allah saya akan terus membantu mereka,” katanya.

PRK DUN Semenyih 2 Mac ini diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH) Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Ia bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman dengan calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Pada PRU14 yang lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengetepikan Johan mewakili UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 10:52 AM