Muhammad Mustakim Ramli


PRESIDEN Skuad Badar, Azhar Mohamad bersama enam ahlinya didakwa di Mahkamah Majistret, Sungai Petani, hari ini, atas pertuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Azhar, 46, yang juga pesara tentera, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Arif Mohammad Sharif.

Mengikut pertuduhan, Azhar didakwa menjadi anggota Skuad Badar, iaitu sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 26 September 2017 sehingga 13 Januari lalu bertempat di Pejabat Skuad Badar di Bandar Seri Astana, Sungai Petani.

Bagi kesalahan itu, Azhar didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih lima ribu ringgit atau kedua-duanya.

Turut sama didakwa atas kesalahan sama adalah enam lagi ahli Skuad Badar iaitu Muhammad Faris Na’im Ahmad Faizal, 21; Shahidan Zakaria, 48; Muhaamad Hasmadi Othman, 40; Johari Awang, 51; Shahrul Nizam Shahrin, 35 dan Muhamad Farid Nazmi Ahmad Faizal, 25.

Semua mereka bagaimanapun juga tidak mengaku bersalah atas kesalahan berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Amirul Ramli dan Muhammad Arif Shaharuddin.

AZHAR (berserban) hadir ke Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Muhammad Mustakim Ramli
AZHAR (berserban) hadir ke Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Muhammad Mustakim Ramli

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan serahan dokumen dilakukan.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Skuad Badar ditahan reman selama empat hari sebelum dilanjutkan dua hari lagi kerana dipercayai melanggar Akta Pertubuhan serta Akta Rahsia Rasmi.

Presiden berusia 46 ditahan 10 malam 13 Januari lalu, selain seorang ahli skuad berkenaan berusia lingkungan 30-an turut ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Kumpulan ini aktif di sekitar Sungai Petani dalam menjalankan operasi cegah maksiat dengan menahan pasangan berkhalwat dan membawa pasangan terbabit ke tanah perkuburan Islam untuk ditarbiah.

Berita berkaitan

'Skuad Badar akan diteruskan cuma...'

'Presiden skuad badar, ahli dibebaskan'

'Tempoh reman presiden Skuad Badar disambung [METROTV]'

'Ini tempoh kuatkan ukhwah'

Presiden Skuad Badar direman

"JAIK serah pada polis

"Niat Skuad Badar baik, tetapi...'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 12:19 PM