GAMBAR hiasan
Erika George


TINDAKAN lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol, tidur di tengah jalan, berakhir tragedi selepas maut dirempuh kereta, semalam.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemui maut di Kilometer 60 Jalan Miri - Bintulu, di Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan 5.55 pagi sebelum anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Mayat mangsa ditemui di tengah jalan oleh orang ramai yang kemudian menghubungi polis.

“Hasil pemeriksaan pasukan paramedik mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat parah di bahagian belakang badannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkipli berkata, beberapa saksi menyatakan mangsa kali terakhir dilihat meninggalkan majlis perkahwinan di rumah panjang berhampiran pada 12 tengah malam kelmarin.

“Hasil penelitian rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis timbang kelapa sawit berhampiran mendapati mangsa berjalan kaki dan kemudiannya berbaring di tengah jalan sebelum dilanggar dua kereta di laluan berkenaan.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengenalpasti kedua-dua kenderaan terbabit serta pemandunya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 1:27 PM