Tiga sahabat S Mathavan,33 (dari kanan); S Logeswaran,34, dan L Keleman,33, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkmah Tinggi Ipoh, atas pertuduhan mengedar dadah. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop


TIGA lelaki yang juga sahabat terlepas hukuman gantung mandatori selepas Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini, melepas dan membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap S Mathavan,33; S Logeswaran,34, dan L Keleman,33.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya seberat 207.8 gram (157.5 gram heroin dan 50.3 gram monoacetylmorphines).

Manakala bagi tuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya seberat 17.6 gram (10.0 gram heroin dan 7.6 gram monoacetylmorphines) serta 466.1 gram methampetamin.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah No 13 Jalan Lahat Mines 15, Bandar Lahat Mines, Lahat, di Ipoh, kira-kira 3 petang, 20 Februari 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Maziyah Mansor manakala Mathavan yang bekerja sebagai mekanik dan Logeswaran sebagai pemilik kedai cuci kereta diwakili Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti serta Syazwani Mohd Zawawi.

Keleman yang mengusahakan kedai besi buruk pula diwakili Charan Singh serta Jagdave Singh.

Hayatul Akmal dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak iaitu pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati terdapat persoalan yang timbul iaitu terdapat individu lain yang boleh mengakses ke rumah berkenaan.

“Pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan keraguan munasabah dan mahkamah memutuskan ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 1:44 PM