Dr Mohamed Ezani hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, meninggal dunia disebabkan oleh sindrom kesukaran pernafasan akut (ARDS).

Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik Institu Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, ARDS adalah kegagalan paru-paru berkait rapat dengan kegagalan beberapa fungsi organ lain, termasuk buah pinggang.

Saksi ke-14 inkues kematian Muhammad Adib itu berkata, sepanjang 21 hari mangsa dirawat di IJN juga, keadaan buah pinggang mangsa juga tidak pulih meskipun menjalani dialisis.

Selain itu, katanya, fungsi paru-paru dan jantung lelaki juga tidak kembali normal.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin pada hari ke-9 inkues di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

FATEN HADNI: Kamu beritahu sebelum ini, kamu ada banyak pengalaman dalam kes seperti ini. Pada pandangan kamu, apakah yang menyebabkan kematian mangsa?

DR MOHAMED EZANI: Akibat pukulan objek keras ke dada yang menyebabkan trauma di bahagian dada.

FATEN HADNI: Apakah objek keras itu?

DR MOHAMED EZANI: Saya tidak boleh beri spekulasi. Ketika pesakit dibawa dari Ramsay Sime Darby Subang Jaya Medical Center ke IJN, keadaannya amat kritikal. Kami ingat dia tak akan selamat. Kecederaan dialami mangsa terlampau teruk.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lain Faten Hadni, saksi sama berkata, Muhammad Adib hanya sempat menjalani fasa kedua rawatan daripada fasa empat yang dirancang pihaknya, berikutan keadaan pesakit itu yang terlalu lemah.

Menurutnya, fasa pertama adalah mangsa bergantung kepada Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO), mesin khas bagi menyokong fungsi paru-paru dan jantung mangsa.

Katanya, fasa kedua apabila pesakit tidak lagi bergantung kepada mesin berkenaan dan fasa ketiga adalah menentukan rawatan lanjut termasuk pembedahan.

“Bagaimanapun pada 14 Disember, keadaan dia semakin letih dan sukar bernafas tetapi berupaya mengekalkan tahap oksigen.

“Pada 15 Disember, keadaannya semakin merosot dan kami terpaksa menggunakan semula ECMO memandangkan tekanan darahnya semakin tidak stabil.

“Pada 16 Disember, keadaannya kritikal, meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh kami. Dia (Muhammad Adib) kemudian meninggal dunia 17 Disember,” katanya.

Ditanya Faten Hadni mengapa pembedahan tidak dilakukan selepas fasa kedua apabila Muhammad Adib tidak bergantung kepada ECMO, Dr Mohamed Ezani berkata, keadaan pesakit tidak mengizinkannya.

“Jika kita membuat pembedahan, ada kemungkinan besar pesakit mengalami pendarahan yang kami tidak dapat kawal.

“Selain itu, tahap kesihatan pesakit perlu berada pada tahap terbaik, termasuk memiliki paras protein yang mencukupi dan mempunyai kekuatan otot dan beberapa parameter lain," katanya.

Pada prosiding sama, saksi itu memberitahu Muhammad Adib dipantau secara rapi oleh sepasukan kakitangan perubatan, sepanjang 21 hari menerima rawatan di IJN.

Katanya, selepas hari keempat, keadaan anggota bomba itu dilihat ada perkembangan memberangsangkan apabila lebih sedar dan memberi tindak balas kepada nama dan arahan.

“Apabila kami panggil namanya, dia membuka mata dan boleh beritahu bila kami suruh gerakan bahagian lengan.

“Dia faham dan tahu berada di hospital dan mengecam ibu bapanya. Tetapi, disebabkan tiub di dalam mulut, dia tidak bercakap.

“Kami berikan dia papan putih dan pen untuk dia menulis. Dia juga diberikan telefon bimbit sebab dia meminta telefon bimbitnya,” katanya.

Dr Mohamed Ezani juga berkata, pada satu ketika selepas tidak bergantung kepada ECMO, keadaan Muhammad Adib menjadi lebih baik apabila berupaya menggerakkan bahagian tangan dan selepas dibantu, anggota bomba itu dapat duduk atas kerusi.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 3:37 PM