Mohamad Supardi (depan dua, kanan) dan Rohayu melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian Program Perhimpunan Skuad AADK Daerah Tanah Merah Bersama Pemimpin hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan mengesan terdapat peningkatan dalam jumlah penagih baharu berbanding penagih berulang berikutan strategi pemasaran pengedar dadah menggunakan golongan muda sebagai ‘rekrut’ baharu.

Pengarahnya Rahayu Ahmad berkata, pihaknya mendapati penagih muda mula terjebak dalam penagihan seawal usia 15 tahun kerana terpengaruh dengan rakan atau kenalan yang juga pengedar dadah.

“Golongan remaja lebih terdedah dengan dadah jenis pil kuda (Metaphetamine) berbanding golongan berusia yang menagih heroin dan morfin.

“Mereka mudah dipengaruhi seawal usia belasan kerana terpengaruh dengan rakan yang turut menjadi pengedar,” katanya selepas Perasmian Program Perhimpunan Skuad AADK Tanah Merah Bersama Pemimpin Masyarakat di Pejabat AADK Tanah Merah, Kelantan, hari ini.

Program dirasmikan oleh Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional Datuk Seri Mohammad Supardi Md Noor.

Rahayu berkata. selain pil kuda penagihan ketum juga semakin mendapat tempat di pasaran negeri terbabit.

“Walaupun ramai yang tidak mengetahui mengenai ketum yang memberi kemudaratan kepada fungsi badan, kami terus menyampaikan maklumat dalam usaha mengekang kegiatan penyalahgunaan ketum.

“Kita mahu masyarakat cakna bahawa penagihan ketum juga amat membimbangkan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun,” katanya.

Katanya, walaupun kes penagihan di Kelantan mencatatkan 17,750 penagih tahun lepas namun berlaku penurunan dalam kes penagih berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 5:08 PM