Penduduk menunjukkan tanaman padi yang dimusnahkan kerbau. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


LEBIH 20 pesawah padi mengalami kerugian RM40,000 apabila padi yang diusahakan mereka dimusnahkan kerbau di Kampung Kok Kiak, Bukit Bakar, Machang.

Masalah itu berlanjutan lebih 20 tahun lalu apabila kerbau peliharaan penduduk kampung dilepas bebas hingga memasuki sawah padi penduduk dan merosakkan tanaman.

Pesawah, Mohamad Deris, 66, berkata, jumlah keseluruhan tanaman padi di kawasan itu berkeluasan 60 hektar dan rosak lapan hektar kerana dimusnahkan kerbau penduduk yang masuk mencari makanan dan berkubang.

Katanya, setiap minggu kerbau masuk ke sawah penduduk antara jam 8.30 malam hingga awal pagi menyebabkan tanaman padi rosak.

“Setiap kali musim, padi kami rosak. Kami tidak tahu nak mengadu kepada siapa sebab masalah ini sudah berlarutan 20 tahun.

“Selain merosakkan tanaman, kerbau itu juga berkeliaran di jalan raya sekali gus membahayakan nyawa penduduk.

“Beberapa hari lalu saya menunggang motosikal dan terbabit kemalangan apabila beberapa ekor kerbau berada di jalan yang gelap hingga menyebabkan cucu berusia dua tahun tercampak. Mujur ada penduduk kampung membantu,” katanya ketika ditemui di Kampung Kok Kiak.

Timbalan Kelompok Padi, Che Mohd Noor Che Awang, 63, berkata, setiap kali musim petani mengalami kerugian dan menyebabkan mereka tidak bersemangat untuk menanam.

“Saya mahu pihak berkenaan mengambil tindakan untuk mengelakkan kejadian ini berulang.

“Kami membeli benih padi dan baja dengan harga tinggi. Sebelum hasil sempat dituai ia rosak dalam jumlah banyak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Machang, Ibrahim Bakri Mat Deris berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengambil tindakan proaktif termasuk mengadakan perbincangan bersama petani serta penternak di kawasan itu.

Katanya, dalam masa sama, beberapa perancangan dibuat termasuk mendaftarkan haiwan ternakan bagi mengenal pasti pemilik dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi menangani masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 6:42 PM