PETUGAS SPR, Jamaluddin Ishak menggantung kain rentang ketika membuat persiapan terakhir hari mengundi awal di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih. FOTO Asyraf Hamzah
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


SERAMAI 858 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menunaikan tanggungjawab mereka di dua pusat pengundian yang akan dibuka esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, 761 anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Pusat Mengundi Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih.

Manakala 97 anggota keselamatan terbabit lagi mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdapat 951 pengundi awal dan pos secara keseluruhannya di DUN Semenyih, majoritinya adalah anggota keselamatan.

Azhar berkata, pusat pengundian awal dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang tetapi bagi pusat mengundi di Discress Room, IPD Kajang waktu pengundian ditutup 2 petang.

“Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding. Di samping itu, pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan turut menyaksikan proses berkenaan,” katanya.

Katanya, SPR juga menyiarkan secara langsung proses pengundian itu menerusi Facebook Live.

“Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi pada esok, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis,” katanya.

Azhar berkata, pada hari mengundi biasa Sabtu ini, peti-peti undi awal akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing.

“Pemerhati pilihan raya yang dilantik juga akan dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 9:22 PM