Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shaarani Ismail


SEKOLAH di Perak disaran mengurangkan aktiviti di luar kelas berikutan suhu tinggi dan panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, keadaan semasa suhu tinggi yang mencecah sehingga 35 darjah celsius itu merbahaya dan boleh memberi kesan kepada pelajar.

“Suhu panas itu dibimbangi boleh mengakibatkan pelajar yang terdedah terkena serangan strok haba akibat cuaca terlampau panas.

“Susulan itu, saya memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk meminta semua sekolah di negeri ini mengurangkan aktiviti bagi mengelak pelajar terdedah kepada cuaca panas yang terlalu lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan hari ini memetik kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 celcius akan dialami di 10 kawasan di Semenanjung selama tiga hari berturut-turut yang dikategorikan pada tahap satu iaitu dalam fasa berjaga-jaga.

Kemas kini status gelombang haba yang dimuat naik di laman web rasmi MetMalaysia 11 pagi hari ini menyatakan antara kawasan yang disenaraikan adalah di Chuping (Perlis), Kubang Pasu, Kota Setar, Sik (Kedah), Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta (Perak).

Kawasan lain yang turut disenaraikan ialah di Maran (Pahang), Kepong (Kuala Lumpur) dan Muar (Johor).

Abdul Aziz berkata, kanak-kanak terutama murid sekolah rendah yang terdedah dengan cuaca panas melampau lebih mudah untuk terkena strok haba.

Justeru, katanya, untuk itu semua guru diharap akan dapat memastikan sebarang aktiviti di luar kelas dapat diminimumkan bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Ada sesetengah sekolah saya dapati juga mengambil langkah melaksanakan kempen minum air masak bagi mengurangkan dehidrasi.

“Kempen seperti ini amat membantu ketika cuaca panas yang melanda ketika ini,” katanya.

Abdul Aziz berkata, selain sekolah, pihaknya juga berharap ibu bapa dapat sama membantu memastikan tahap kesihatan anak mereka dijaga sepanjang musim panas melanda dan memastikan mereka minum air mencukupi, selain mengehadkan masa aktiviti mereka di luar kelas dan kawasan terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 9:44 PM