Mohd Hafizee Mohd Arop


AHLI perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk membuat pinjaman bank berjumlah lebih RM1.39 juta, 16 tahun lalu.

Tertuduh, Azmi Ismail, 53, atau lebih dikenali sebagai Azmi Juta membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Azmi didakwa melakukan pemalsuan surat berupa cagaran berharga iaitu satu Istisna’s Sale Agreement dan menggunakannya untuk membuat permohonan pinjaman di Bank Muamalat Cawangan Taiping berjumlah RM 1,395,700.44 dengan niat menyebabkan kerugian kepada pihak bank.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah firma guaman Faisal Azian & Co, No 11 Jalan Raja Sulong, Medan, Taiping, 2.35 petang, 19 Februari 2003.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Mohd Azrul Faidz manakala tertuduh diwakili peguam P Ravee.

Mohd Azrul kemudiannya memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang setimpal dan menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM100,000 kepada tertuduh.

Ravee kemudian memohon mahkamah mempertimbangkan supaya anak guamnya dikenakan wang jaminan yang rendah iaitu sebanyak RM20,000.

Che Noralashiken kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua orang penjamin serta mengenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Balai Polis Taiping setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 18 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 11:02 AM
AZMI (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping. FOTO Muhaizan Yahya