Siraj Mohd Zaini


PENGAWAL keselamatan di pasar raya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh adik iparnya antara awal Disember tahun lalu hingga 19 Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Johari Ng Abdullah, 60, mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga mualaf dan bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian perempuan orang kurang upaya (OKU) bernama Nur Izzati Ghazali, 26.

Perbuatan itu dilakukan dalam kediaman di Apartment Perdana Villa, Jalan Temenggung 19, off Jalan Sungai Jati, Klang, antara 4 Disember 2018 hingga 19 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Ethan W H Tan.

Tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh sementara menunggu kes disebut semula pada 2 April depan untuk penyerahan dokumen serta laporan kimia.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita OKU meninggal dunia pada 19 Februari lalu dipercayai akibat didera abang iparnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima aduan yang memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat sawan.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan si mati mendapati terdapat kesan lebam.

Shamsul berkata, polis juga menerima satu laporan polis yang dibuat jiran yang mendakwa mangsa sering didera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 1:07 PM
TERTUDUH, Muhammad Johari Ng Abdullah (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas pertuduhan membunuh adik iparnya menyebabkan kematian perempuan orang kurang upaya (OKU) diantara tarikh awal Disember tahun lalu hingga 19 Februari lalu. FOTO Faiz Anuar