FAZURA ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Murni Wan Omar


SEORANG saksi tidak menafikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini bahawa pelakon dan penyanyi Fazura sudah menjalankan tugasnya sebagai duta produk Q-Tab dan bayaran RM156,000 adalah untuk semua kerja yang sudah dibuat.

Mardina Narhamdan yang juga anak kepada pengarah Maydan Trading mengesahkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan di hadapan Hakim Datuk Firuz Jaffril.

Terdahulu, Mardina mengesahkan berdasarkan penerangan di botol Q-Tab ia adalah produk khas untuk penjagaan rambut dan kuku.

Bagaimanapun, beliau menafikan penyata tuntutan yang dikemukakannya adalah tidak benar apabila mengandungi perkataan kulit tidak seperti dalam keterangan produk.

FAKHRUL: Adakah anda tahu apakah jenis produk TruDolly?

MARDINA: Saya difahamkan ia untuk kecantikan dan kulit.

FAKHRUL: Setuju saya katakan produk yang dikeluarkan oleh Fazura tidak melanggar syarat untuk produk Q-Tab?

MARDINA: Tidak setuju.

FAKHRUL: Bayaran RM156,000 yang dibuat kepada defendan kedua (Universal Music) adalah untuk perkhidmatan Fazura sehingga 22 Ogos 2018?

MARDINA: Ya betul.

FAKHRUL: Setuju saya katakan Iman Tang tidak mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan dan hanya mendapat arahan daripada Universal Music?

MARDINA: Ya

Mardina memberi keterangan dalam kes saman yang dikemukakan oleh bapanya Norhamdan Abd Malek pemilik Maydan Trading terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 36, dan Universal Music Sdn Bhd yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Fazura turut diwakili peguam Nooron Aini Zakaria.

Menjawab soalan Wilson Lim yang mewakili Universal Music, Mardina mengakui dia tidak menghantar sebarang pertanyaan kepada Iman Tang berhubung muat naik posting oleh Fazura berhubung produk Tru-Dolly.

Selain itu dia juga tidak bersetuju bahawa tindakannya yang meminta Fazura hadir di Festival Mood Republic pada 24 Oktober 2017 sedangkan kontrak ditamatkan pada 20 Oktober lagi sebagai tidak konsisten.

Dalam prosiding itu, Maydan Trading diwakili peguam Dzaki Ezhar Bahar dan Sunita Sankey.

Prosiding perbicaraan bersambung 18 Mac depan.

Pada 16 Disember 2017, Norhamdan memfailkan saman terhadap Fazura dan Universal Music.

Berdasarkan writ, Norhamdan sebagai plaintif memiliki dan menjual produk kesihatan di atas nama dagang Maydan dan satu daripada produk itu adalah kandi yang boleh dikunyah dikenali sebagai Q-Tab untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku.

Pada 10 Ogos 2017, plaintif didakwa bersetuju secara bertulis dengan cara Helaian Terma (Term Sheet) yang dibuat oleh defendan kedua (Universal Music) untuk perkhidmatan Fazura.

Berita berkaitan:

  • Hanya mahu tuntut RM156,000 daripada Fazura
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 1:59 PM