Anak buaya yang masuk ke dalam perangkap dipasang PERHILITAN. FOTO Ihsan PERHILITAN
Anak buaya yang masuk ke dalam perangkap dipasang PERHILITAN. FOTO Ihsan PERHILITAN


ANAK buaya tembaga yang dipercayai dilepaskan individu tidak bertanggungjawab di Tasik Shah Alam, Seksyen 14, berjaya ditangkap hari ini selepas lima hari operasi.

Anak buaya itu ditangkap 11.30 pagi menggunakan perangkap berumpankan daging ayam yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor.

Pengarahnya, Abd Rahim Othman berkata, kejadian itu disedari oleh Unit Buaya dari Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

Beliau berkata, pihaknya memasang tiga perangkap bersaiz sederhana, dua jala dan satu pukat bagi menangkap anak buaya itu.

“Hasil pemantauan lima hari sejak Jumaat lalu berhasil apabila buaya itu akhirnya memasuki salah satu perangkap yang dipasang menggunakan umpan daging ayam.

“Anak buaya yang belum dikenal pasti jantina bersaiz anggaran satu meter kemudiannya dihantar ke Paya Indah Wetlands (PIW) di Dengkil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, dengan penangkapan buaya itu orang ramai kini tidak perlu gusar melakukan aktiviti riadah di situ.

“Terima kasih kepada semua pihak khususnya PERHILITAN, Jabatan Bomba Dan Penyelamat serta Renjer Taman MBSA yang bersama-sama terbabit dalam operasi ini,” katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan kehadiran reptilia itu disedari orang awam yang melalui kawasan berkenaan pagi Jumaat lalu.

Orang awam kemudiannya menghubungi bomba sebelum menyerahkan tugas menangkap reptilia itu kepada PERHILITAN.

PERHILITAN dilaporkan berkata, tidak menolak kemungkinan buaya itu dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab berikutan tasik itu tidak bersambung dengan mana-mana sungai berdekatan.

Berita berkaitan

Anak buaya 'sesat' di Tasik Shah Alam'

Anak buaya tembaga dilepas? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:08 PM