PEMILIK bot pelancongan membantu menyelamatkan mangsa dari feri terbakar. FOTO Ihsan Pembaca
BERNAMA

SEMUA operasi perkhidmatan feri penumpang milik syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd digantung serta-merta sehingga siasatan kebakaran ferinya, semalam, selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, arahan penggantungan itu bagi membolehkan pihak Jabatan Laut melakukan siasatan terperinci untuk mencari punca sebenar kebakaran.

“Ini adalah kali kedua syarikat itu digantung operasi dan siasatan forensik mengambil masa antara tiga hingga empat hari.

“Kita juga akan lihat sama ada syarikat itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, kali pertama operasi syarikat itu digantung selama sebulan Oktober tahun lalu selepas ferinya terkandas lapan jam di tengah laut ketika dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

“Kita (kerajaan negeri) mengambil kira semua laporan dan aduan yang dibuat oleh penumpang terhadap feri itu termasuk terhidu bau minyak enjin.

“Kalau dakwaan itu benar, kita tidak teragak-agak untuk menyarankan kepada Kementerian Pengangkutan supaya menghentikan terus operasi syarikat itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang semalam, 52 penumpang feri Dragon Star 1 berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi ke Kuala Perlis sebelum diselamatkan bot dan feri lain yang berada berdekatan.

Ditanya mengenai dakwaan penumpang jaket keselamatan tidak mencukupi ketika kejadian, Azman berkata, perkara itu tidak benar kerana semua jaket keselamatan sudah diletakkan di bawah tempat duduk penumpang.

Sementara itu, Pegawai Laut Jabatan Laut Langkawi, Ghadzali Ahmad berkata, pihaknya juga melakukan pemeriksaan keselamatan secara berkala terhadap feri yang berusia 28 tahun itu, sebelum membenarkan feri itu membawa penumpang.

“Sebelum feri berlepas, kita tidak menerima sebarang makluman feri itu berada dalam keadaan tidak memuaskan.

“Pemeriksaan dokumentasi juga dilakukan dan didapati feri berada dalam keadaan baik untuk berlepas,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Mohd Firdaus Ahmad ​​​​berkata, sudah tiba masanya Jabatan Laut dan agensi berkaitan mengubah SOP perkhidmatan feri.

“Apa yang jadi semalam adalah petanda awal, sudah tiba masa SOP termasuk menetapkan usia penggunaan sesebuah feri itu dilihat, dikaji dan diubah bagi mengelak kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Cuaca panas punca feri terbakar
  • [UPDATE] Penumpang feri selamat [METROTV]
  • Feri terbakar di perairan Langkawi
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:35 PM