Rajivan menjawab soalan wartawan selepas selesai berbicaran pengurusan kes saman syarikat pemborong barang kemas Lubnan terhadap Rosmah (gambar kecil) di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi, Kuala Lumpur, hari ini, membenarkan perbicaraan kes saman syarikat pemborong barangan kemas di Lubnan, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor yang sepatutnya bermula minggu depan, ditangguhkan.

Peguam N Rajivan yang mewakili Rosmah ketika ditemui berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin membenarkan kes itu ditangguhkan sehingga polis dapat mengesahkan status 44 barang kemas dalam milikan Rosmah yang didakwa dirampas polis.

Menurutnya, polis mempunyai masa sehingga hujung Mei ini untuk melengkapkan siasatan sama ada 44 barang kemas itu, termasuk dalam 12,000 barang kemas yang dirampas dalam serbuan Mei tahun lalu.

“Jika siasatan mendapati 44 barang kemas itu berada dalam jagaan pihak polis, kami akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu.

“Ini berikutan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman ini,” katanya yang ditemui di luar kamar hakim.

Sementara itu peguam, Datuk David Gurupatham yang mewakili syarikat Global Royalty Trading SAL berkata, mahkamah menetapkan 24 Mei depan untuk pengurusan kes.

Katanya, mahkamah juga berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Peguam Kanan Persekutuan berhubung siasatan polis mengenai barang kemas itu.

Mahkamah sebelum ini sudah menetapkan 4 dan 5 Mac ini untuk perbicaraan.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Rosmah selaku defendan dengan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa mendakwa Rosmah sudah lama menjadi pelanggan tetapnya dan turut menjelaskan bahawa firma itu akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau.

Pembayaran akan dibuat melalui defendan sendiri atau pihak ketiga dan barang kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan semula kepada plaintif.

Defendan didakwa akan menerima barang kemas daripada plaintif melalui dirinya sendiri, pekerja atau ejen di Kuala Lumpur, Dubai atau Singapura.

Plaintif mendakwa barang kemas yang dihantar diiringi dengan memorandum hantar serah yang menggambarkan barang serta harga barang itu, termasuk terma dan syarat tertentu.

Pada 10 Februari lalu tahun lalu, melalui serahan tangan, jurujual atau ejen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahkan sebanyak 44 barang kemas kepada defendan.

Defendan ada mengesahkan dan mengakui penerimaan barang itu melalui surat bertarikh 22 Mei tahun lalu.

Plaintif mendakwa, defendan juga mengesahkan secara bertulis bahawa barang itu sudah disita pihak berkuasa Malaysia.

Oleh itu, plaintif memohon deklarasi bahawa mereka adalah pemilik barang kemas itu menurut undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:54 PM