ANGGOTA memadam kebakaran feri penumpang Dragon Star 1. FOTO Ihsan Bomba
BERNAMA

PASUKAN penyiasat Jabatan Laut Malaysia sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca feri yang membawa 52 penumpang terbakar petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah, Pejabat Laut Kuah, Langkawi Ghadzali Ahmad berkata, siasatan sudah dimulakan sejak semalam sebaik feri itu ditunda ke jeti jabatan di Tanjung Lembong, dekat Langkawi.

“Tiga pegawai penyiasat memulakan siasatan sejak malam tadi dan akan disambung petang ini.

“Siasatan hari ini memberi tumpuan kepada fizikal feri itu bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bernama difahamkan feri yang terbakar itu sudah ditunda dari lokasi kejadian kurang satu batu nautika dari Terminal Penumpang Kuah ke Jeti Jabatan Laut Tanjung Lembong oleh kapal Suhail milik Jabatan Laut Malaysia dan Dragon Speed, sebuah lagi feri milik syarikat itu.

Dalam kejadian semalam, feri penumpang Dragon Star 1 yang membawa 52 penumpang bersama seorang kapten dan lima anak kapal terbakar selepas berlepas dari Terminal Penumpang Kuah ke Jeti Kuala Perlis.

Menurut, penumpang yang terbabit kebakaran berlaku di bahagian belakang feri berkemungkinan berpunca dari bahagian bilik enjin feri malang itu.

Berita berkaitan:

  • Semua operasi feri milik Dragon Star digantung
  • Cuaca panas punca feri terbakar
  • [UPDATE] Penumpang feri selamat [METROTV]
  • Feri terbakar di perairan Langkawi
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 4:27 PM