SEBAHAGIAN 23 warga asing yang ditahan di Kubang Pasu, semalam kerana melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen tinggal di negara ini. FOTO Ihsan JIM Kedah
Zuliaty Zulkiffli

SERAMAI 23 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam Op Bersepadu di kawasan perumahan dan tapak pembinaan sekitar Kubang Pasu, semalam.

Dalam serbuan 8.15 malam hingga 4 pagi itu, Bahagian Penguat Kuasa JIM yang disertai 25 anggota dan pegawai meriksa 96 warga asing di kawasan berkenaan.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, daripada jumlah itu dua adalah lelaki warga Myanmar, lapan lelaki Bangladesh, tiga lelaki Nepal serta tujuh lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia.

Beliau berkata, semua PATI berusia setahun hingga 47 tahun dan siasatan awal mendapati bahawa mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta Seksyen (15)(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155), tinggal melebihi masa di negara ini.

“Kes turut disiasat mengikut Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya.

Semua PATI ditahan di lokap Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 4:49 PM