Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

KAWASAN perindustrian Gebeng, Kuantan bertukar ‘kelam’ apabila diselubungi asap berikutan kebakaran 40 hektar hutan yang berlaku 2 petang semalam.

Keadaan itu juga menyebabkan beberapa kawasan mengalami jarak penglihatan terhad selain ada pekerja terpaksa memakai topeng muka.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemancing yang meninggalkan puntung rokok atau menyalakan unggun api ketika memancing di tasik yang terdapat di dalam hutan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, hutan yang terjejas adalah hutan akasia yang juga bekas kawasan pengeluaran balak yang keseluruhannya berkeluasan 101 hektar.

“Kita dimaklumkan oleh pekerja kilang berhampiran terdapat sekumpulan pemancing dilihat keluar dari kawasan hutan berkenaan sebelum kebakaran itu disedari.

“Setakat ini 40 hektar daripada 101 hektar hutan terbakar, operasi kita tertumpu kepada tiga kaedah utama iaitu membina saliran dan takungan bagi mengalirkan air untuk meningkatkan paras air supaya ia sama paras dengan tanah,” katanya ketika ditemui di kawasan kejadian hari ini.

Beliau berkata, 21 anggota bomba dibantu 14 anggota industri dari Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) untuk memadam dan mengawal kebakaran termasuk meminjam kemudahannya.

Katanya, pihaknya turut meletakkan anggota berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan bagi memastikan api tidak melarat ke Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP) dan menyebabkan keadaan panas kepada pengguna jalan raya.

“Kita mempunyai dua jentera selain dibantu jentera dari Lynas (Corporation Ltd) dan PETRONAS Chemicals MTBE, kita juga mendapat bantuan pihak industri yang menyediakan dron untuk meninjau keadaan kebakaran.


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan hutan seluas 40 hektar. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL

“Kita sedang memantau keadaan termasuk pergerakan angin yang kini menghala ke Kuantan hingga menyebabkan kawasan berkenaan turut menerima ‘tempias’ bau asap,” katanya.

Nor Hisham berkata, 11 malam ini akan berlaku perubahan arah angin yang bertiup ke kawasan perindustrian Gebeng dan mungkin memburukkan lagi keadaan.

Beliau mengingatkan orang ramai terutamanya pekerja kilang yang tinggal di asrama berhampiran kawasan itu mengambil langkah berjaga-jaga antaranya minum air dengan banyak.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas yang boleh menyebabkan kejadian kebakaran di tempat terbuka sehingga memberi kesan kepada jarak penglihatan.

“Kita dapati sejak minggu lalu tren kebakaran mula meningkat, Sabtu lalu 24 laporan kebakaran diterima, Ahad (20) dan semalam pula 19 laporan.

“Ada tiga lokasi berlaku kebakaran skala besar iaitu di sini, ladang di Muadzam Shah membabitkan hutan seluas lapan hektar dan laluan di Nenasi, Pekan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 4:54 PM
Hutan seluas 40 hektar terbakar di Kawasan Perindustrian Gebeng. FOTO Ihsan Kaneka-Kuantan Droners