GUAN Eng bersama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


USAHA pengambilan empat lebuh raya bertol di Lembah Klang dijangka mengambil masa enam bulan untuk memenuhi semua keperluan pengawal seliaan, kewangan dan undang-undang.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pengambilalihan lebuh raya Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART adalah pada harga adil dan berpatutan bagi pihak kerajaan.

Malah, katanya, ia akan menjimatkan pembayar cukai sebanyak RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol lebuh raya berkenaan sehingga akhir tempoh konsesi.

“Cadangan pengambilalihan lebuh raya ini adalah penyelesaian ‘menang-menang-menang’ untuk semua yang terbabit. Kerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol.

“Selain itu, pengguna lebuh raya akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dan pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak

“Pada masa sama, sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam negara,” pada sidang media di Putrajaya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, kerajaan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya yang syarikat itu mempunyai pegangan majoriti.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik pinjaman kos pengambilalihan dan segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, tanpa mengambil kira kumpulan Plus Malaysia Berhad (PLUS), keempat-empat lebuh raya itu menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya bertol di bandar.

“Ini meliputi sebahagian besar daripada lebuh raya dalam bandar dan menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam langkah pertama memenuhi manifesto pilihan raya kami.

“Apabila pengambilalihan konsesi empat lebuh raya ini dimuktamadkan, kerajaan akan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan menggantikannya dengan model baharu iaitu caj kesesakan,” katanya.

Beliau berkata, caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan dan ini akan menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan pada waktu luar puncak dan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak.

“Dengan dasar baharu ini, pengguna lebuh raya pada waktu puncak juga akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas berbanding dengan situasi semasa.

“Unjuran awal menganggarkan pengguna empat lebuh raya ini akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dengan peralihan daripada kutipan tol kepada caj kesesakan.

“Penjimatan ini bermakna, pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama,” katanya.

Berita berkaitan

Mansuhkan tol, kerajaan bakal kekurangan dana pembangunan’

Tol percuma waktu luar puncak belum muktamad’

Ambil alih ikut kemampuan kerajaan - Dr Mahathir

Cadang mansuh tol, ganti dengan caj kesesakan’

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 5:00 PM