Anggota bomba memadam api yang memusnahkan sebuah rumah di Batu 11, Jalan Elopura di Sandakan. FOTO Ihsan JBPM Sabah
Poliana Ronnie Sidom


SEORANG lelaki melecur pada lengan dalam kebakaran sebuah rumah di Batu 11, Jalan Elopura, Sandakan, petang tadi.

Mangsa, Tobias Adi Soget, 52, dipercayai cuba masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil dokumen penting sebelum terkena api dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew berkata, bomba menerima panggilan pada 2.53 petang sebelum menghantar 12 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian yang terletak 16 kilometer dari balai.

Katanya, pihak bomba menggunakan dua aliran dan dua pancutan air untuk memadam kebakaran.

“Kira-kira 80 peratus rumah itu terbakar. Mangsa pula cuma mengalami kecederaan ringan dan dirawat oleh pihak hospital di lokasi kejadian,” katanya.

Anddre berkata, api hanya dapat dikawal pada 5.11 petang dan anggaran kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

KEBAKARAN yang memusnahkan rumah dan menyebabkan seorang lelaki melecur dalam kejadian di Batu 11, Jalan Elopura, Sandakan. FOTO Ihsan JBPM Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 8:39 PM