X
Mohd Redzuan bersama Moderator, Tan Sri Johan Jaaffar pada program Bicara Minda di Dewan Karangkraf. FOTO Roslin Mat Tahir
Mohd Redzuan bersama Moderator, Tan Sri Johan Jaaffar pada program Bicara Minda di Dewan Karangkraf. FOTO Roslin Mat Tahir
Ruwaida Md Zain


KERAJAAN sedang memperhalusi perkongsian teknologi yang akan diguna pakai bagi membangunkan projek kereta nasional ketiga.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ia penting supaya teknologi yang digunakan nanti adalah sesuai dan mampan dengan jenis kereta yang bakal dikeluarkan.

“Kita ada menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak mengenai perkara ini. Jadi, kita kena senarai pendek semua cadangan ini.

“Sebarang keputusan perlu dibincangkan di peringkat Majlis Pembangunan Negara. Saya jangkakan kita akan dapat keputusannya dalam tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tamu bagi program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, Shah Alam, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, dasar kerajaan ketika ini ialah untuk menjadi negara pengeluar kereta.

“Kita mahu jadi negara pengeluar (kereta) bukan sebaliknya (negara pengguna kereta),” katanya.

Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercadang mewujudkan jenama kereta nasional baharu, bagi menggantikan Proton yang sudah tidak dianggap sebagai jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.

Mesyuarat Jawatankuasa koordinasi Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) pada 12 Oktober dan 14 Disember tahun lalu bersetuju Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dijadikan penyelaras kepada kementerian yang terbabit dalam projek ini.

Selain MED, kementerian berkaitan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 9:00 PM