AZHAR Azizan (kanan) meninjau pusat pembuangan undi di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, Semenyih pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih. Turut hadir, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (kiri). FOTO Asyraf Hamzah
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


“SEMUA kesalahan dalam pilihan raya adalah melanggar undang-undang negara seperti juga kesalahan jenayah, mencuri dan lain-lain,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, sehubungan itu semua kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa iaitu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, orang ramai boleh berbuat demikian dengan membawa segala bukti dan fakta berkaitan aduan kepada pihak berkuasa supaya kertas siasatan dapat dibuka bukan kepada SPR.

“SPR hanya mengendalikan pilihan raya bukan berkuasa menyiasat, melihat dokumen dan mengambil keterangan.

“Pasukan penguat kuasa SPR pun mesti melaporkan kepada polis dan SPRM sekiranya mereka ada bukti dan fakta perlanggaran akta,” katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, hari ini.

Seramai 858 anggota pasukan keselamatan terbabit sebagai pengundi awal yang akan berakhir 5 petang ini.

Dalam pada itu, Azhar berkata, 23 laporan polis sudah dilakukan membabitkan kes tiada permit ceramah oleh parti kerajaan dan pembangkang.

“Ada juga laporan berkaitan pembaikan rumah, pemberian hamper dan itu sahaja yang agak serius,” katanya.

Katanya, SPR sentiasa menasihatkan parti yang bertanding supaya mengikut undang-undang.

“Apabila terjadi insiden, ada dua kesan. Kalau ia kesalahan pilihan raya, maka orang yang ada fakta kena buat laporan kepada polis dan SPRM.

“Insiden itu boleh digunakan sebagai satu alasan mencabar pilihan raya jadi boleh buat petisyen,” katanya.

Sementara itu, dua Timbalan Pengerusi SPR yang baru dilantik iaitu Prof Madya Dr Azmi Sharom dan Prof Madya Dr Faisal S Hazis memulakan tugas pertamanya hari inipada PRK DUN itu.

Azmi ialah penyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya manakala Faisal ialah pensyarah di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 9:11 PM