Sebanyak 22 titik panas dikesan di seluruh Pahang sepanjang bulan ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Shahrinnahar Latib


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesan 22 titik panas di seluruh Pahang sepanjang bulan ini sekali gus boleh mengakibatkan penurunan kualiti udara.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding empat titik panas yang direkodkan sepanjang bulan lalu.

“Peningkatan mendadak bilangan titik panas sepanjang bulan ini yang berpunca daripada pembakaran terbuka di kawasan seperti ladang, belukar dan tanah gambut.

“Apabila keadaan cuaca panas dan kering dengan ketiadaan hujan yang berpanjangan seperti pada waktu ini, sememangnya akan menyumbang kepada peningkatan bilangan titik panas.

“Peningkatan ini berpunca daripada kes pembakaran terbuka sama ada yang disengajakan ataupun tidak disengajakan serta seterusnya memberi kesan kepada kualiti udara yang boleh mengakibatkan jerebu,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Rosli berkata, pada hari ini sahaja, pihaknya mengesan sebanyak lima titik panas di negeri ini iaitu dua kes di Sungai Karang dan Hulu Lepar, Kuantan manakala satu kes masing-masing di Bera, Rompin dan Pekan.

Menurutnya, pasukan penyiasat JAS sudah dihantar ke lapangan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, Rosli meminta penduduk di seluruh negeri ini supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan ketika ini kerana dikhuatiri ia akan menjejaskan kualiti udara setempat.

“Justeru, orang ramai dan syarikat perladangan perlu lebih bertanggungjawab untuk tidak membuat pembakaran terbuka secara berleluasa dan mereka boleh didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Orang ramai diminta melaporkan segera ke JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai individu memulakan pembakaran sehingga menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan lebih besar, terutama di kawasan belukar dan hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 10:05 PM