X
Presiden As Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed pada sidang media selepas taklimat kesedaran mengenai hal perancangan harta pusaka yang berlandaskan prinsip Syariah di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Presiden As Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed pada sidang media selepas taklimat kesedaran mengenai hal perancangan harta pusaka yang berlandaskan prinsip Syariah di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Oleh Siti Rohana Idris


KELEWATAN pengagihan, perebutan dalam kalangan waris serta perselisihan faham terhadap konsep wasiat, faraid serta harta sepencarian adalah antara masalah utama dalam pengagihan harta pusaka.

Presiden As Salihin Trustee Berhad yang juga syarikat yang mengendalikan pengagihan harta pusaka, Abdul Aziz Peru Mohamed berkata, sehingga kini dianggarkan RM60 bilion harta pusaka umat Islam di negara ini terbeku disebabkan tidak diagihkan berikutan permasalahan itu kerana kurangnya kefahaman berkenaan perkara itu.

“Ramai ahli waris yang gagal mentadbir harta pusaka menyebabkan pertikaian berlaku dalam kalangan keluarga sehingga ada yang memutuskan silaturrahim.

“Antara punca kepada masalah itu adalah pentadbir harta tidak faham tanggungjawab mereka dalam menguruskan harta pusaka, waris yang layak berlapis serta sukar dikenal pasti kelayakan, agihan tidak secara telus dan tiada kesedaran perancangan harta.

“Di sini lah pentingnya pentadbir harta pusaka dilantik dan As Salihin sendiri diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh berkaitan perancangan harta pusaka yang berlandaskan prinsip Syariah,” katanya selepas memberi taklimat kesedaran mengenai hal perancangan harta pusaka kepada masyarakat kepada lebih 100 peserta di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Menurutnya, harta pusaka seseorang yang beragama Islam dibahagikan mengikut prinsip Syariah, pihaknya sebagai wasi atau pentadbir yang dilantik atas persetujuan ahli waris akan membayar zakat ke atas harta pusaka yang ditinggalkan.

“Proses pentadbiran itu nanti termasuk melangsaikan segala hutang piutang secara sah, membuat badal haji, membayar hutang fardhu kifayah (contohnya puasa tidak cukup) sebelum baki bersih diperoleh dan disusuli dengan proses agihan kepada waris,” katanya.

Abdul Aziz Peru berkata, sejak ditubuhkan pada 2004, As Salihin sudah mempunyai lebih 20,000 pelanggan menggunakan khidmat syarikat itu.

“Sehingga kini sudah tiga pejabat As Salihin dibuka iaitu di Kelana Jaya (Selangor), Johor dan Pulau Pinang manakala pejabat keempat akan dibuka di Kota Bharu pada awal Mac nanti.

“Ini membuktikan As Salihin mendapat kepercayaan penuh dari pelanggan malah semua kakitangan kami terdiri daripada kalangan profesional antaranya peguam, akauntan dan pegawai kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 11:25 PM