GAMBAR hiasan.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


BERANG dengan tindakan isterinya menuntut cerai, pemandu teksi tergamak memukul kepala wanita itu dengan al-Quran selain turut memukul anak kandungnya dengan rotan hingga cedera di tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian berlaku pada 3.30 petang 21 Februari lalu ketika tiga beranak itu berada di rumah mereka di Jalan Tengah Stulang Baru, Johor Bahru.

Beliau berkata, perselisihan faham itu menyebabkan lelaki berusia 42 tahun bertindak di luar batasan akibat tidak dapat mengawal perasaan.

“Punca kejadian apabila isteri kedua yang dinikahi pada 18 Ogos 2017 berusia 40 tahun mahu menuntut perceraian dengan suspek, namun lelaki itu tidak dapat menerimanya hingga menimbulkan kemarahan.

“Suspek kemudian masuk ke dalam bilik tidur dan mengambil sebatang rotan berukuran 60 sentimeter di atas almari lalu memanggil anak kandung perempuannya berusia sembilan tahun masuk ke dalam bilik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek memukul kanak-kanak itu dengan rotan pada bahagian tangan kiri dan betis beberapa kali.

Katanya, suspek kemudian memukul kepala isterinya menggunakan al-Quran sebanyak tiga kali.

“Siasatan lanjut mendapati situasi seperti itu sudah dua kali dilalui anak perempuannya yang dipukul lelaki terbabit menggunakan rotan, selain tidak membuat laporan polis mengenainya.

“Ekoran daripada itu terdapat kesan kecederaan pada bahagian lengan kiri dan betis kiri mangsa,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan dibuat mangsa, lelaki itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 11:46 PM