Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


“SAYA tidak menolak, anti atau benci vaksin, itu tidak betul, tetapi saya mengkaji apa baik dan buruk serta tidak percaya satu-satunya kaedah pencegahan adalah melalui vaksin.

“Adakah kita mengehadkan kaedah dan itu saja pilihan yang ada hingga tiada pilihan lain. Rata-rata ibu bapa no choice ini minta satu sistem telus dan selamat sedangkan undang-undang dan garis panduan sudah ada, tetapi tidak diterangkan baik dan buruk untuk kami buat keputusan.”

Demikian alasan diberikan seorang ibu yang dikenali sebagai Nur Azizah, 40-an, menolak suntikan vaksin buat dua anaknya.

Bekas peguam itu berkata, anak keduanya menerima suntikan DTaP-IPV//Hib iaitu vaksin difteria yang terkandung lima serangkai bagi menghindari Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenzae Type B ketika berusia lima bulan.

“Bagaimanapun, kesihatan anak saya merosot iaitu demam dan batuk teruk selama dua bulan kesan daripada suntikan vaksin itu.

“Kita sudah ada garis panduan yang mana meletakkan satu duty of care petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu satu doktor dan jururawat untuk menceritakan apa kesan advers selepas imunisasi.

“Memang petugas kesihatan buat publisiti berbentuk poster dan sebagainya, tetapi rata-rata ibu bapa termasuk saya tidak pernah tengok apa kesan advers dan analoginya kalau kita dapat rawatan di mana-mana hospital, adakah sama ada kita diberi pilihan nak teruskan atau tidak

“Contohnya rawatan kanser, kita diberi pelbagai pilihan rawatan untuk buat kemoterapi atau radioterapi atau pesakit boleh minta nak makan ubat saja, maksudnya pesakit berhak buat keputusan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, bagaimanapun bagi kanak-kanak bawah 18 tahun ia tertakluk kepada pilihan di tangan ibu bapa.

“Selepas anak saya demam dan batuk teruk selama dua bulan sampai doktor menyuruh tukar pengasuh sebab dia pun tidak tahu punca demam.

“Disebabkan itu, saya mula menggali pengetahuan sehingga jumpa satu kumpulan ibu bapa ini yang mengalami kesan advers sama.

“Daripada situ saya rasa ralat kenapa tidak diberitahu, jika diberitahu pun bukanlah kita terus nak hentikan vaksin, tetapi ibu bapa tahu apa nak buat,” katanya.

Menurutnya, sepatutnya sebelum suntikan, doktor atau jururawat perlu beritahu termasuk memaparkan di publisiti poster mereka apakah kesan advers termasuk demam berpanjangan dan batuk teruk.

“Ini tidak, rata-rata ibu bapa diberitahu kesan selepas mendapat vaksin hanya demam dan bengkak di tempat suntikan, sebenarnya ia lebih daripada itu terutama anak-anak yang berkeadaan lain yang kita tidak tahu.

“Jika diberitahu, ibu bapa akan cakna macam kes anak. Saya bawa balik ke klinik berkenaan dan sepatutnya doktor terus buat laporan ke NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara).

“Disebabkan inilah kita tiada data Pengendalian Kejadian Kesan Advers Berikutan Pelalian (AEFI) yang khusus, tapi sekiranya pendedahan garis panduan vaksin diberitahu kita tahu apa yang nak dibuat.

“Contohnya jika sawan ibu bapa tahu ini AEFI, jadi klinik yang bagi suntikan berkenaan atau doktor bertanggungjawab buat laporan, itu adalah carta aliran yang dibuat dalam garis panduan, tetapi ramai ibu bapa tidak tahu.

“Saya tidak faham kenapa satu dunia boleh ada statistik AEFI, tetapi di Malaysia tiada, mungkin juga kita tiada statistik sebab pendidikan berkenaan tidak sampai kepada ibu bapa, macam mana nak buat laporan,” katanya.

Nur Azizah berkata, anak keduanya demam berpanjangan manakala anak ketiganya mengalami ekzema teruk selepas suntikan vaksin.

“Anak kedua saya demam berpanjangan hingga saya tidak tahu apa yang mahu dilakukan sehinggalah saya berjumpa kumpulan ibu bapa yang mahu saya mencuba rawatan alternatif kerana doktor pun tidak tahu apa yang nak dibuat.

“Saya jumpa homeopati dan cuba buang toksin dalam badan anak saya melalui detoks. Alhamdulillah, rawatan itu membuatkan anak saya okay.

“Ketika berusia tujuh bulan, saya melambatkan vaksin untuknya. Saya tidak tolak vaksin dulu, sebab saya nak kaji dan belajar.

“Banyak input saya dapat daripada doktor dan saintis yang mengkajinya menjadikan saya lebih ngeri, kandungan neurotoksin yang buat saya takut dan ragu-ragu.

“Soal halal haram itu datang kemudian, tetapi kandungan neurotoksin dalam vaksin adakah betul-betul selamat?” katanya.

Esok: KKM perjelas sebab berlaku AEFI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:00 AM