LIM GUAN ENG.
BERNAMA

USAHA pengambilalihan konsesi empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart (SMART) akan mengambil masa enam bulan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jangkaan tempoh masa itu adalah bagi memenuhi keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.

“Pengambilalihan lebuh raya ini adalah pada harga yang adil dan berpatutan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya hari ini bagi memaklumkan pengoperasian laman web skim mySalam.

Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan kerajaan sudah memulakan rundingan dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat terbabit mempunyai pegangan majoriti.

Dalam satu kenyataan, kerajaan berhasrat memansuhkan mekanisme tol sedia ada selepas berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna akan dikenakan bayaran bersamaan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari. Bagi tempoh luar waktu puncak, antara 11 malam hingga 5 pagi pula, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada akan diberikan.

Lim berkata tanpa mengambil kira kumpulan PLUS, keempat-empat lebuh raya berkenaan menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya bertol di bandar.

Berdasarkan unjuran awal, pengguna empat lebuh raya itu akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dengan peralihan daripada kutipan tol kepada caj kesesakan.

“Malah sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyelenggaraan sistem pengangkutan awam di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan dan ia akan menggalakkan pengguna lebuhraya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu luar puncak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 8:03 AM