GAMBAR hiasan
Iskandar Shah Mohamed


KEGIATAN tujuh ahli kongsi gelap Geng 08 dipercayai melakukan pemerasan dan samun di tapak pembinaan tumpas apabila mereka diberkas polis dalam Op Cantas Khas di Kuala Langat, kelmarin.

Difahamkan, semua lelaki berusia 18 hingga 30 tahun itu mengutip wang perlindungan di sekitar Sepang, Petaling Jaya dan Serdang.

Bagaimanapun, ia berakhir apabila kumpulan suspek itu ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat, antara 3.30 petang hingga 5 petang.

Ketua JSJ negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, semua suspek yang juga ahli Geng 08 itu terbabit dalam kes pemerasan terhadap pemilik tapak pembinaan reban ayam di Telok Panglima Garang pada 11 Februari lalu.

“Siasatan awal mendapati kumpulan itu mensasarkan tapak pembinaan bagi mendapatkan wang perlindungan.

“Jika pemilik atau pengurus tapak pembinaan enggan membayarnya, mereka akan melakukan samun bertujuan mendesak mangsa menggunakan ‘khidmat keselamatan’ dan membayar wang perlindungan itu,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.


FADZIL Ahmat. FOTO arkib NSTP

Menurut beliau, semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Mac depan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika melakukan samun

“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan,” katanya.

Kata Fadzil, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap diminta menyalurkannya ke Hotline Polis Selangor menerusi aplikasi whatsapp di talian 017-2847611.

“Kerjasama daripada masyarakat amat signifikan dan berupaya memberi impak yang positif kepada keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya.

Pada 4 Januari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti pemerasan yang dilakukan

kumpulan kongsi gelap ke atas pemaju perumahan, pengurus tapak pembinaan,

kontraktor dan orang perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 12:58 PM