SEBAHAGIAN dari beberapa jenis kosmetik yang tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM1.07 juta yang dirampas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) di Sibu. FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri
Garret Dawum


LEBIH 400 produk kosmetik pelbagai jenama yang tidak bernotifikasi bernilai RM1.07 juta dirampas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dalam satu serbuan di Sibu, 18 Februari lalu.

Hasil risikan dan aduan yang diterima, Seksyen Penguatkuasaan Farmasi Bahagian Sibu (SPF Sibu) menyerbu premis dan menjumpai 35,000 kotak kosmetik tidak bernotifikasi.

Pengarah JKN Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata, kesemua kosmetik terbabit dipercayai dibawa masuk secara tidak sah untuk pasaran domestik khususnya di Sarawak.

“Siasatan menyeluruh terhadap semua pihak yang terbabit sedang dijalankan dan tindakan tegas akan dikenakan.

“Individu atau syarikat yang didapati terbabit menjual kosmetik itu akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Jamilah berkata, jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan.

“Syarikat yang melakukan kesalahan terbabit pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Katanya, JKN Sarawak memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai stok kosmetik ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan kosmetik terbabit tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya.

“Orang awam boleh menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik menerusi laman web https://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerusi talian 03-78835400.

“Kosmetik yang bernotifikasi mempunyai nombor notifikasi bermula huruf NOT diikuti sembilan digit nombor dan berakhir dengan huruf K,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dan pihak media juga digalakkan untuk melaporkan serta menyalurkan maklumat berkenaan mana-mana kosmetik yang meragukan sebagai tindakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membanteras pengimportan dan penjualan kosmetik yang tidak dibenarkan melalui laman web https://www.pharmacy.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 1:25 PM