PEMANDU lori, Mohd Irwan Abu Kassim, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan mencederakan anak perempuannya dengan rotan, minggu lalu. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya berusia sembilan tahun, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Irwan Abu Kassim, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki yang hadir berkemeja-T warna ungu itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian lengan kiri dan kaki kiri mangsa berusia sembilan tahun itu dengan menggunakan rotan sebagai senjata yang mungkin boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah dekat Jalan Tengah Stulang Baru, Johor Bahru, 3.30 petang, Khamis lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan menawarkan ikat jamin RM12,000 dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa.

Peguam Zafirah Norizan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung seorang isteri serta empat anak yang berusia antara setahun hingga sembilan tahun.

“Tertuduh turut menanggung kedua ibu bapanya dan membayar sewa rumah serta kereta masing-masing RM600 sebulan,” katanya yang turut bersama peguam Jihad Syahida Zakaria mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 Mac ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais dalam satu kenyataan media berkata, seorang lelaki ditahan pada 21 Februari lalu selepas disyaki memukul isteri dan anak kandungnya.

Perbuatan itu disyaki dilakukan suspek kerana berang akan tindakan isterinya yang menuntut cerai menyebabkan dia memukul kepala wanita itu menggunakan al-Quran, selain memukul anaknya dengan rotan.

Berita berkaitan:

Naik hantu bila isteri minta cerai

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 1:42 PM