Laporan portal Harian Metro semalam
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI yang disyaki terbabit melakukan sembilan kes ragut di sekitar kawasan Lebuhraya Link Kedua, Gelang Patah dekat sini, kelmarin sudah ditahan polis, tengah malam tadi.

Suspek berusia 33 tahun dan bekerja sebagai mekanik itu ditahan di sebuah premis di Jalan Serunai 3, Taman Pancasila, Saleng dekat Senai, kira-kira 12.25 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bersama anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Lelaki yang beralamat di Tanjung Sedili, Kota Tinggi itu ditahan bagi membantu siasatan dan kini ditahan reman lima hari sehingga Ahad ini.

“Hasil semakan, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 382 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing suspek juga mendapati dia positif methamphetamine dan AMP.

Semalam, Harian Metro melaporkan sembilan kejadian ragut berlaku di sekitar lebuh raya itu dalam tempoh masa kurang dua jam.

Kejadian antara jam 5.50 hingga 7.15 pagi itu dipercayai berlaku ke atas sembilan penunggang motosikal yang mahu keluar bekerja di Singapura atau pulang dari republik itu.

Semua mangsa yang berusia antara 24 hingga 36 tahun itu mengalami kerugian antara RM1,000 hingga RM2,500 apabila barangan berharga mereka dibawa lari penjenayah.

Antara barangan mangsa yang diragut ialah kad pengenalan, cukai jalan motosikal, telefon bimbit, lesen memandu, kad ATM bank, kad kredit, wang tunai, pasport, permit kerja Singapura, kunci rumah dan kunci pendua motosikal.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 dan Seksyen 394 kanun sama.

Berita berkaitan:

  • Peragut gempal di Lebuhraya Link Kedua
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 5:46 PM