Petugas MDKS membersihkan kira-kira 1 tan metrik sampah kitar semula dari rumah wanita warga emas di Kampung Bagan Pasir Penambang, baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


PENDUDUK Kampung Bagan Pasir Penambang, Kuala Selangor, menarik nafas lega apabila sebuah rumah yang menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes dibersihkan dalam Operasi Bersepadu Kawasan Hotspot Denggi, baru-baru ini.

Rumah didiami wanita warga emas berusia 81 tahun itu mengumpulkan hampir satu tan sampah kitar semula yang terdiri daripada kotak polisterin, periuk, bekas botol plastik, kotak dan baldi.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, operasi yang dijalankan pada 14 Februari lalu mendapati wanita itu tinggal bersendirian dan dalam keadaan tidak terurus.

“Wanita itu menyara hidupnya dengan hasil jualan kutipan sampah kitar semula di sekitar Pasir Penambang dan Pekan Lama Kuala Selangor.

“Kebanyakan sampah itu bagaimanapun disimpan di sekitar kawasan rumah berkenaan tanpa dijual semula.

“Ia menyebabkan berlaku takungan air yang mengundang nyamuk untuk membiak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi kali kedua dijalankan di rumah berkenaan menyaksikan tindakan sita serta-merta dikenakan selepas notis amaran dikeluarkan pada 13 Januari lalu tidak diendahkan.

Kata Rahilah, wanita itu dikenakan Notis Seksyen 82 iaitu kacau ganggu mengakibatkan nyamuk Aedes.

“MDKS mengambil inisiatif melakukan pengasingan sampah yang boleh dikitar semula seberat 100 kilogram sebelum membelinya mengikut harga pasaran.

“Wanita itu turut dirujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:27 PM