DATUK Seri Anwar Ibrahim pada sidang media hari ini. FOTO Rosela Ismail.


PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kerap mengadakan pertemuan rapi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ada kesinambungan dalam persiapan menjadi Perdana Menteri seterusnya.

“Saya ambil kesempatan sekarang ini untuk mendengar laporan, pandangan, menemui semua dalam rangka persiapan itu dan adakan pertemuan rapi, kerap dengan Dr Mahathir supaya ada kesinambungan.

“Ada orang salah faham, dia ingat ini seolah-olah kerajaan baru. Tak betul, sebab apa dilakukan sekarang ini adalah berdasarkan Manifesto Pakatan Harapan (PH) sekarang yang diterajui Dr Mahathir.

“Kita akan cuba teruskan, mungkin penekanan dan fokus itu sedikit berbeza, tetapi dasarnya sama," katanya ketika ditanya mengenai persiapannya menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Ke-33 di Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 38 pengkarya terpilih sebagai pemenang bagi enam kategori dipertandingkan membabitkan cerpen media baharu, cerpen remaja, cerpen umum, puisi, rencana sastera dan novel remaja.

Dalam pada itu, Anwar mengulangi pendirian PKR yang memberikan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekarang.

Beliau berkata, soal undi tidak percaya kepada Perdana Menteri tidak ada asas sama sekali.

“Yang mula bangkitkan itu Ustaz Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), PAS. Selepas itu saya bincang dengan ketua parti Keadilan, DAP, BERSATU, AMANAH, semuanya tak pernah dengar ada usaha itu, sebab kita terikat dengan perjanjian.

"Perjanjian kita meterai itu adalah untuk memberi sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Jadi, soal nak batalkan itu, tidak mungkin.

"Jadi, oleh yang demikian saya tidak lihat ada asas dan sebab itu, saya ulangi pendirian parti Keadilan memberi sokongan kepada Dr Mahathir seperti mana kita janjikan," katanya.

Anwar menyifatkan hal itu adalah cubaan untuk melaga-lagakan beliau dengan Dr Mahathir.

"Ini kerja PAS, sebab itu saya mula tegur. Ada orang bangkit saya keras dengan PAS, tetapi tak benar. Dua tiga tahun ni, PAS serang saya, saya tak pernah jawab sekalipun, sebab saya kenang PAS itu sahabat dulu. Saya macam itu.

"Tetapi bila saya ingat berterusan dan kemudian ada lagi usaha setelah saya susah payah derita 20 tahun pun, nak laga-lagakan saya dengan Mahathir, maka saya pilih untuk jelaskan.

"Politik ini boleh berbeza pendapat, tapi kalau memfitnah tak sesuai, jadi sebab itu saya kata kat PAS, dia boleh bagi pandangan berbeza, dia boleh kritik saya, tetapi untuk dia mengatakan bohong itu boleh atau memfitnah, maka saya bagi pandangan yang agak tegas, jangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 8:13 PM