Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di hutan tanah gambut yang terbakar sejak semalam di Taman Perindustrian Gebeng. FOTO Zulkepli Osman
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di hutan tanah gambut yang terbakar sejak semalam di Taman Perindustrian Gebeng. FOTO Zulkepli Osman
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA puluh hektar lagi kawasan hutan di Gebeng, Kuantan terjejas dalam kebakaran dan menjadikan keseluruhan kawasan terjejas adalah 60 hektar setakat ini.

Keadaan angin ditambah pula cuaca panas dan kering menjadi antara faktor yang menyebabkan api cepat merebak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, buat masa ini hanya 20 peratus kawasan yang terbakar itu sudah dapat dipadamkan.

“Tumpuan kita adalah memastikan api tidak merebak ke Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang terletak kira-kira satu kilometer dari hutan ini.

“Meskipun kawasan yang terjejas semakin luas namun buat masa ini ia masih lagi terkawal malah kita juga memohon bantuan unit udara daripada ibu pejabat JBPM bagi melancarkan operasi pemadaman,” katanya.

Nor Hisham berkata, pihaknya juga membuat permohonan untuk meminjam pam berkapasiti tinggi daripada JBPM Terengganu.

Katanya, JBPM Pahang mempunyai sebuah unit pam berkapasiti tinggi dan jika ada tambahan pam, pihaknya dapat menaikkan paras air di kawasan kebakaran menggunakan sumber air dua tasik di kawasan hutan itu.

“Operasi pemadaman ini mendapat bantuan pasukan Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) yang terdiri daripada pekerja kilang utama di kawasan perindustrian Gebeng.

“Kita bahagikan operasi ini kepada dua syif yang mana setiap syif membabitkan 30 anggota bagi melancarkan operasi ini,” katanya.

Kebakaran hutan akasia itu yang juga bekas kawasan pengeluaran balak dikesan 2 petang kelmarin dipercayai berpunca daripada tindakan pemancing meninggalkan puntung rokok atau menyalakan unggun api ketika memancing di tasik yang terdapat di dalam hutan.

Berita berkaitan

Gebeng 'terbakar' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 8:51 PM