Kereta peronda polis remuk selepas dirempuh kereta dinaiki dua lelaki. FOTO Ihsan Pembaca
Norizuan Shamsuddin


ENAM das tembakan dilepaskan polis dalam usaha memberhentikan kenderaan dinaiki dua lelaki yang dipandu secara bahaya dan merempuh kenderaan lain di Jalan Gombak di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, kedua-dua suspek yang dikesan melalui jalan dari arah Gombak menuju ke Setapak, enggan memberhentikan kereta ketika anggota polis yang menaiki kereta peronda polis (MPV) mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan.

Difahamkan suspek terus memecut kenderaan untuk melarikan diri dalam keadaan jalan yang sesak sebelum membuat pusingan U di hadapan sebuah sekolah di Jalan Gombak.

Ketika melarikan diri, kenderaan dinaiki suspek turut dilaporkan melanggar sebuah motosikal hingga menyebabkan penunggangnya terjatuh di persimpangan lampu isyarat Jalan Meranti, Gombak.

Kenderaan itu terus memasuki kawasan perkampungan Cina di Jalan Gombak sebelum melanggar tiang sebuah rumah akibat melalui jalan mati.

Kereta Proton Persona dinaiki suspek dipercayai cuba merempuh MPV polis yang cuba memberkas mereka menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan ke udara dan empat das ke arah kereta suspek sebelum suspek turun dari kereta dan cuba melarikan diri.

Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis berkenaan.

Namun kedua-dua suspek berusia 30-an berjaya ditahan dan pemeriksaan susulan mendapati mereka mempunyai tiga rekod jenayah dan dikehendaki polis.

Hasil pemeriksaan dalam kereta dinaiki suspek turut menemui peralatan menghisap dadah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 9:52 PM